Inquiry: petakbunga@gmail.com

20140630

Business Pom Pom Girls 23268

Sambil-sambil jadi surirumah aku terfikir juga nak ada business online sendiri. Business online ni bukan barulah sangat dengan aku. Cuma aku tak mampu nak maintain je business online dulu terutama lepas kahwin, sibuk sangat. Entah apa yang sibuk tu..

Tengok orang jual tudung, rasa nak jual tudung. Tengok Tudung Fareeda tu sampai tertempek kat kapal terbang..kaya tu. Rasanya kalau musim raya ni, mahunya dapat beli kapal terbang kot taukey tudung tu.

 Fikir, lepas fikir-fikir. Kena rancang betul-betul dulu. Bukan main ikut je apa orang buat kita nak buat. Tak ada identiti, payah nak berjaya. Takat tiru orang, tak pasal-pasal kena saman pula.

Kena cari business yang mudah nak handle terutama aku dah ada kerja tetap sekarang ni. Kira business yang tak membebankan sangat dan aku suka. Insyallah. One fine day.

Bercakap pasal business aku geram betul dengan melaun yang buat business pom-pom girl ni.


 Korang pernah tak dapat message dari nombor 23268?
RM1.  Enjoy Pom Pom Girls Vid(No data caj)
 Aku salin balik sebiji sebutir message yang aku terima.

Aku pulak jenis yang kadang-kadang malas nak baca sms daripada nombor-nombor begini, buat-buat tak tahu je. Aku kan perasan sibuk. Tak ada masa nak baca benda tak ada faedah. Sebab tiap-tiap hari aku dapat sms begini, aku dah rasa menyampah.

Tahap menyampah aku mula bertukar jadi nak marah pula bila aku perasan RM1 kat depan sms tu.. tu pun entah dah berapa hari aku terima sms tak berfaedah ni. Ke seminggu sudah. Dan aku tak perasan pun kredit aku ditolak atas sms yang aku tak pernah langgan.

Lepas beberapa hari baru tergerak tangan aku nak reply ‘STOP’.

RM0. Anda telah Berjaya membatalkan service POM2. Terima Kasih.

Huruf kecik-huruf besar aku salin sebiji sebutir.

Pandai pulak sms ni berterima kasih. Aku nak je maki sms ni. Bila nya aku langgan? Macam ni punya bisness pun ada ke? Kerja menipu je.

Budak-budak aku foeigner worker selalu mengadu kat aku kredit diorang selalu habis lepas topup agaknya pasal ni lah. Aku ingat diaorang yang duk download entah apa-apa. Manalah diorang reti nak Stop ke apa. Senangnya berniaga.

Berniaga tu dah bagus, ikut nabi tapi tengok jugak berniaga apa, bagaimana kaedahnya..jangan duk fikir duit je..


Sabar, puasa.

Hari Yang Baik

 Hari ini dah kembali normal.


Aku batuk sikit. Dari hari sabtu hari tu lagi, Alhamdulillah deman dah tak ada.

Telefon Tok Ma Luth kejap tadi, tanya khabar Luth macam mana. Luth baik-baik je kata Tok Ma, tengah tidur. Senang hati aku kerja hari ni. Kat tempat kerja pun semuanya berjalan lancar. Masalah tentu ada, tapi  Insyallah kita cuba selesai sikit-sikit. Semuanya akan baik-baik je nanti.

Seronok juga jadi surirumah sekali sekala ni. Paling seronok, tak ada siapa boleh marah kita. Tak ada siapa nak arah-arah kita. Setakat tolong buat air, masak, basuh baju semua tu surirumah separamasa ni buat juga. Bab yang paling best, boleh sambung tidur lepas laki pergi kerja. Bukan malas, Luth ni nak tidur diulik mak. Nak mengomel-ngomel dengan mak sampai terlelap..maka sudahnya mak pun terlelap sekali.

Dekat seminggu aku jadi surirumah sepenuh masa, memang ada rasa nak jadi surirumah sepenuh masa. Tapi itulah keadaan belum mengizinkan lagi. Banyak lagi benda kena fikir. Betul, rezeki itu dari Allah. Ulat dalam batu pun boleh hidup cuma kalau boleh kita nak hidup senang sikit.

Mungkin seminggu dua dapatlah aku bertahan jadi surirumah sepenuh masa, kalau lama sikit bosan juga rasanya. Terperak dalam rumah 24 jam. Sehari-sehari macam tak sedar waktu. Mahu serabut juga kepala otak aku ni. Nak pergi shopping-shopping pun tak ada duit. Bab duit tu yang aku rasa belum lagi sampai waktu aku perlu berhenti kerja.

Semuanya akan baik-baik.


20140628

Persiapan Makanan Nak Puasa




Asal nak puasa, kalut pasal makan. Padahal nak puasa..oh, oh..

Rezeki murah betul sejak balik dari Genting beli sayur sampai sekarang tak habis-habis lagi. Bukan sayur beli hari tu tak habis lagi. Ni rezeki jiran tetangga yang bagi. Rasa macam 2, 3 kali jugak seminggu dua ni dapat sayur free.

Peti ais kecil dah penuh, tapi orang nak bagi ambil juga. Rasa rugi tak ambil. Sayur jenis daun ni cepat layu. Sumbat juga dalam peti ais.

Sudah packing siap-siap dalam plastik hijau yang kekonon lambat rosak sayurnya disimpan. Tengoklah secepat mana boleh makan habis sayur ni. 

Ada tak biskut raya sayur? Boleh selamatkan sayurku ni. 

Sayur dah penuh sepeti. Lauk tak ada. Kalau sempat, lakiku balik kerja petang nanti kena cari lauk pulak. Tak boleh jadi vegetarian nak puasa ni. Tak gagah..huhu.. 

 Selamat berpuasa kekawan.

20140627

Suka duka jadi surirumah

Jumaat. 4 hari dah aku jadi surirumah. Betul kelam kabut. Aku salute buat surirumah sepenuh masa.

Hari pertama aku jadi surirumah, botol cuka epal aku dah pecah. Lepas ni, tak adalah cerita detox cuka epal. Sikit lagi Luth tak makan serpihan kaca. Marah ma aku tahu ni..

Seharian kat rumah, Luth tak berengang dengan aku. Basuh baju kena dukung, lipat kain beriba. Anak aku bolehlah. Orang lain, mana sanggup gini.

Hari kedua selamat, tak masuk dapur. Makan, tidur nak membuang pun ikut sekali. Kami buddiey, tak akan terpisah.

Hari ketiga, ingat nak masak-masak sikit. Goreng kuewtiau tak siap, satu lagi balang kaca berterabur. Rumah sewa aku sempit, tak tahu nak punggah ke mana botol-botol kaca. Takut dia makan lagi kaca, aku punggah letak atas peti ais. Jangan roboh sudah peti ais aku.


Luth sekarang makin besar, makin cerdik, makin manja. Tak boleh marah, suara kuat sikit dia boleh menangis. Sensitif, dia faham orang marah dia. Kadang tu sengaja pegang plug yang orang larang. Pegang plug, lepas tu panggil kita..heh..heh..suruh orang larang dia. Boleh gitu?

Luth juga kuat cemburu sekarang ni, ayah Luth jangan duduk dekat mak dia. Tak boleh, macam mak ni hak milik dia mutlak. Menangis, malalaklah kalau mood dia tak baik. Ditolak-tolak ayah dia.

Bagusnya, seminggu ni aku boleh rasa penatnya ma aku jaga anak bertuah aku ni...

20140626

Kami pun nak jimat

Sejak dah ada anak ni, setiap kali aku pergi shopping mesti akan usha harga lampin pakai buang atau diapers.. Kalau ada discount, mesti beli buat stok. Nak letak Luth rumah pengasuh hari tu baru perasan dah habis stok diapers Luth. Tinggal Pet Pet yang tengah guna je, ingat nak beli satu yang baru dan nak letak terus kat rumah pengasuh. Kekonon Luth nak duduk lama rumah pengasuh..oh.

Untuk diapers Luth, aku suka beli brand Drypers, Huggies atau PetPet. Tengok yang mana ada promosi, aku beli. Aku bukan setia sangat dengan satu-satu produk sahaja. Aku pun pernah cuba brand XYZ yang tak berapa popular, tapi ada-ada aja yang tak best. Ada yang tak meresap air kencing, tak boleh tampung berak. Yang paling aku tak suka, pelekat brand XYZ ni plastik bergam, kadang kalau silap tampal terus tak boleh tampal. Ada yang lebih teruk, langsung gam pelekatnya tak boleh guna. Tahulah anak yang cerdik ni aktifnya, susahnya nak pakai diapers.

Tempat aku biasa shopping sekarang ni Econ Save. Dekat dengan rumah aku. Murah pun murah juga. Aku usha Huggies kat Econ Save sebab aku ingat Huggies lah yang paling murah. Aku beli kat Mydin hari tu dalam 28 ringgit je. Drypers sejak dah tukar packaging baru, harga pun dah naik jadi 30ringgit lebih. PetPet kat 99 speedmarkt murah sikit. Kalau tak sempat pergi Econ Save aku beli kat Speedmark je. Mydin jauh sikit dari rumah aku, jarang aku pergi sekarang ni. Terkejut aku, huggis pun dah naik harga sekarang ni..jadi 40 ringgit dah. Terus tak jadi beli. 


Aku teringat MSM pasaraya kecil kat kawasan rumah aku. Terus ajak laki aku usha Huggies kat situ. Stok lama lagi kot, RM28.99. Terus beli stok 2 sebelum habis dan naik harga.

Aku share ni buat kawan aku yang komen dalam entry pasal Kedai RM2. Aku bukan tak nak bagi tahu Kedai RM2 tu kat mana. Aku faham, semua orang nak jimat. Aku yang miskin ni lagi lah suka bab-bab berjimat ni. Kedai RM2 tu kat mana-mana pun ada. Aku pun tak tahu kat kawasan lain mana lokasinya. Kalau kat Rawang rasanya tak ada, rumah aku kat Batang Kali ada satu, kat Bukit Sentosa ada satu..itu yang dekat kat kawasan Rawang ni.

Kami pun nak jimat, sapa yang tak suka dapat jiamtkan? Ma aku kata tepung gandun cap Wau murah beli kat 99 Speed Mark. Ila pun setuju beli diapers anak kat 99 speedmark. Saila cakap, kedai ThiznThatz jual makanan kucing yang murah. lia cakap pasaraya HERO tempat dia suka shoping sebab ada kad utk kumpul ganjaran dan dalam 3 bulan, dapat katalog utk pengguna tegar, ada kupon yg murah sangat kalau nk beli diapers. faraherda.razalan pula suka belanja brg dapur kat Mydin, dan beli kat Tesco susu anak bila ada discount.

Aku suka sangat kalau ada orang boleh share mana nak beli barang murah..

20140625

Menangis sampai puas

Emo betul aku sehari dua ni. Ambil Luth rumah pengasuh aku dah nangis. Semalam satu hari, sekejap-sekejap aku nangis. Aku tengok Luth, aku rasa kesian betul. Aku ingat kata-kata pengasuh, aku nangis. Apa aku nak buat? Bukan salah Luth dia suka menangis.

Salah mak dia yang suka menangis, sekarang anak pun suka menangis.


 Aku tak fikir ada lagi orang sanggup jaga Luth. Ada, ada..Cuma Luth yang tak boleh. Bayangkan dekat 11 bulan dia dah kenal semua orang, tiba-tiba aku campak dia dengan orang yang dia tak biasa. Kalau aku pun, aku tak selesa. Budak kecil manalah dia tahu nak cakap, nangis je lah. Jangan bandingkan anak aku dengan anak orang lain yang baik. Yang tak ada ragam. Diam je, baik je..tak macam anak aku.. sedih tahu. Teruk sangat ke anak aku..

Semalam aku dah telefon ma aku bagi tahu. Insyallah, jumaat ni ma datang balik sini. Laki aku mulanya tak bagi aku beritahu ma. Asyik susahkan ma je. Sampai bila? Sekarang ni patut kami sudah berdikari. Tapi aku buntu sekarang.

 Seminggu ni aku tak masuk pejabat. Aku tak tahu apa jadi kat kilang. Aku pun tak nak ambil tahu. Kat rumah ni pun aku dah pening. Semalam Luth baru pecahkan botol cuka epal aku. Semerbak rumah bau cuka. Sudah bersihkan, tapi baunya kuat ada lagi..menyengit hidung.

Minggu depan aku masuk pejabat, tak tahu apa nak jadi. Tapi aku nekad kali ni, kalau banyak bunyi besar kemungkinan aku undur diri. Insyalllah semunya akan baik-baik.

Best apa jadi surirumah.. 

20140624

Aku surirumah

Pagi ni lepas solat subuh, kejut cik abe bangun. Macam biasa, kena bebel-bebel sikit.

Masuk dapur, buat air cuka epal untuk aku. Amalan detok kekonon. Buat air nescafe, kefin sikit untuk lakiku membangunkan otak pagi mengantuk. Potong epal hijau masam-masam manis, kekonon nak breakfast secara sihat. Dasar tekak Melayu, tak cukup makan sikit-sikit. Potong juga kek Marble E€on $ave yang dah dilayer dengan chese sesedap rasa aku.

Sambil lakiku siap-siap nak pergi kerja, minta tolong bukakan bilah kipas angin. Kotor berabuk sangat, nanti gatal hidung. Kipas angin bilik tok ma pun bawak masuk bilik. Kipas atas tak cukup, panas sangat. Ni rasa nak pakai aircond ni.. Aku gosok, sabun bilah-bilah kipas. Liat  betul kotoran melekat.

Lakiku panaskan ejin motor. Sambil lepak dilaman, susun rancangan pokok-pokok kayu, sayur dengan laki aku. Ingat nak alih sikit pokok-pokok ke tepi pagar sikit. Susun cantik-cantik. Sekarang nampak semak sangat. Janji dengan laki nak buat projek ubah suai, susun atur laman petang karang. Sangat teruja.

Lakiku dah pergi kerja sekarang, Luth tidur lagi.

Hari ni aku surirumah. Pengasuh semalam dah tak sanggup nak jaga Luth. Dia menangis sepanjang hari semalam.

20140623

Luth dengan pengasuh hari ni

Tok ma dah balik kampung. Hari ni hari pertama Luth dengan pengasuh baru.


Pagi tadi aku kejut dia bangun tidur. Kesian dia. Mengantuk lagi, sikit merengek tapi dia bangun. Aku mandikan dia. Sekejap dia tak nak mandi, lembikkan badan dalam bilik air. Aku letak kaki dia dalam gayung, bagi dia rasa air tak sejuk pun. Baru boleh siram air, mandikan dia.

Semalam lagi aku dah siap-siapkan baju, tula, sabun, bedak dalam satu bakul siap-siap. Susu dan cerelec juga aku siapkan. Aku tak masak makanan nya. Jiran aku cakap, tak payahlah. Luth bukan makan banyak, dia masak juga nanti disuapkan. Ma aku ingatkan, nanti belikan je lauk mentah untuk mereka. Aku tak beli lagi.

Aku rasa semua aku dah siapkan, tapi tak tahulah cukup ke tak..Laki aku kata, aku kalut. Memang kalut. Risau sangat.

Sebelum pergi kerja, aku dan laki aku mengangkut bakul dan Luth ke rumah jiran. Sikit lagi aku nak nangis. Luth, rileks je tak nangis pun. Kalau dia nangis, rasanya aku tak pergi kerja hari ni.


Aku rasa sedih lagi ni.. oh..sedih sangat-sangat. 

20140620

Nampak best

Sehari balik Genting tu aku tukar profile facebook aku. Letak gambar 3 beranak posing maut berlatar belakang bunga teh kuning sambil ayah Luth buat peace. Bertubi-tubi like dan komen aku terima dari sanak saudara..dengan ucapan, ‘wah selalu makan angin..seronoknya’.  Tak tahu aku nak reply apa. Laki aku suruh post gambar kami main air Terjun Serendah pulak, biar mereka lagi jeles tengok kita makan angin lagi..Haha.. Betul jahat, kasi jeles semua. 


Itu yang mereka nampak.
Puas aku memujuk, mengamuk baru dapat jalan gi Genting Highland belakang rumah tu mereka tak tahu. Rawang- Batang Kali- Genting dekat sangat je sebenarnya. Aku usha-usha jurujual kulat kat Genting itu pun duduk kawasan rumah aku je. Hari-hari ulang-alik Genting. Apa nak kecoh. Bukan aku pergi England pun.

Kawan sekolah aku cikgu, laki bini cikgu, dua-dua kawan aku. Share gambar rumah baru mereka kat facebook. Besar sangat, cantik sangat design dia luar dalam. Aku sikit rasa cemburu, kayanya cikgu. Bestlah jadi cikgu, gaji besar, kerja senang, kerja sekerat hari, government asyik bagi  macam-macam imbuhan. Tak adil. Rasa nak jadi cikgu juga, rasa menyesal tak jadi cikgu pula. Itu yang aku nampak, aku fikir. Hari-hari sakit hati mengajar anak kurang ajar, nak dipulas tak boleh, dijentik, disentuh pun payah aku tak tahu. Bergolak bergadai cikgu ikat janji sampai mati jadi cikgu nak buat rumah besar aku tak tau. Ada rumah besar, tapi tak dapat duduk juga, dua-dua posting hulu daerah. Sampai ke pencen lah tunggu nak duduk rumah besar.

Syukurlah, asyik banding dengan orang yang lebih hati jadi sakit je.

Sekarang sambung kerja, syukur ada kerja lagi. Ada orang tak ada kerja nak sangat dengan kerja kita. Tak ada kerja mudah. Sekejap tadi bos cakap dia takut nak sign cek customer return ni. Bos pun takut eh? Aku ingat jadi bos senang. Boskan banyak duit.

Aku kalau pening, tak boleh buat kerja..kena update blog. boleh gitu?

Hobi berfaedah

Semua orang ada hobi. Ada orang suka motor besar, juga lakiku cuma tak mampu. Ada orang suka bola, juga lakiku cuma tak layak. Hobi yang berfaedah boleh memupuk semangat setia kawan dan banyak kawan.  Bagus sangat.

Sejak lakiku menceburi diri dalam hobi menjala ni, jarang sangat dah aku beli ikan kat pasar. Nasib baiklah ma aku tolong belikan dengan van yang datang kat rumah yang datang ke rumah. Untung betul.

Ini kali pertama kami dapat merasa hasil tangkapan menjala lakiku. Itu pun dengar cerita, pinjam jala jiran yang sama semangat nak menjala. Jaringnya lebih kecil, jadi adalah ikan yang sangkut. Nak harap ikan besar-besar yang otak besar tak sangkut.


Lakiku yang siang  siap-siap, aku cuma goreng je. Goreng garing-garing dan nasib baik dia makan. Dia kata sedap, aku kata tak sedap.Alasan dia nak pergi menjala yang tak ada hasillah tu.

Laki ku juga makin rajin sekarang. Contohnya, dia selalu bersihkan akuarium ikan  puyu Luth yang selalu berkeladak. Jumpa ikan yang comel-comel lakiku simpan dalam akuarium bersama dengan ikan puyu. Esoknya pula, ikan comel akan buat aksi renang kuak terbalik sampai lemas. Jadi, lakiku lah yang wajib bersihkan akuarium yang dah tercemar. Rajin sungguh.

Sabarlah isteri.


20140619

100%

Customer asyik komplen je bulan ni. Dan aku pulak asyik kena marah dengan bos je bulan ni. Customer marah, aku kena marah. Aku marah, aku tak tahu dah nak marah kat sapa. Tapi tak apa, kita sabar banyak-banyak. Salah kita, kita tak beri komitment 100% lagi. Sekejap-sekejap teringat nak update blog. Bos aku tak tahu, update blog ni salah satu persedian kalau nak berhenti kerja dan jadi blogger sepenuh masa suatu hari nanti. Atau lepas pencen.

Ustaz kata, kalau gaji kita 9 ratus pun, kalau kita kerja macam orang gaji 9 ribu. Rezeki tu akan macam orang gaji 9 ribu juga. Cuba guna dulu cadangan ustaz ni, kalau tak jadi juga baru fikir nak berhenti kerja. Kira pilihan paling akhir lah tu, lagipun lebih setengah tahun 2014 dah ni. Rugi tak dapat bonus nanti. Nak berhenti kerja, kena pilih awal tahun.

Semangat betul aku main sukaneka. Mesti menang! Datanglah semangat nak bekerja ni..Oh..datanglah.


Maaflah kawan-kawan, sibuk sikit kita sehari dua ni. Jeling-jeling gitu je blog member-member.  Ingat juga nak gi jalan rumah kawan-kawan blog tapi tak berapa sempat sikit. Ada lapang sikit, kita ingat nak link blog member-member kita yang selalu bergosip sini. Kalau ada yang terlepas pandang kita buat tak tahu, atau selalu datang rumah kita tetapi kita ni berat sangat kaki nak gi jalan rumah kawan, bagi tahu lah..dengan ucapan ‘sombongya.’ 

Manual pam susu

Betul-betul manual kali ni. Tapi ni lagi lenguh, dari manual pam susu. Tak sampai setahun guna pam susu aku dah rosak. Rasa macam ganas benar aku ni, orang pakai bertahun tak rosak-rosak pun. Siap boleh turun-temurun lagi kat sanak saudara. Aku pun beli branded Medela Pump ingat boleh tahan sampai ke anak menantu. Baru pakai 10 bulan getah  pam dia dah koyak tepinya. Benci betul aku, tak dapat nak mengepam dengan baik sehari dua ni. Semalam aku main picit je, betul-betul pakai manual.

Intai-intai kaedah alternatif tanpa guna pengepam susu kat blog kawan kita Puan Kutu. Konfius pulak aku yang selalu konfius mana jari telunjuk, mana jari tengah. Sudahnya, ku hentam koromo sendiri. Ikut suka hati aku asal keluar.

Ini semua dugaan dalam perjalanan mengapai niat aku untuk menyusukan anak aku sampai 2 tahun la ni. Dugaan… Ma aku cadangkan susukan Luth terus je, tak payah mengepam lagi. Satunya fikir nak hantar Luth rumah orang pulak nanti. Aku paling fikir, tak nak menyusahkan orang. Tahulah susu perahan ni nak jaga pun leceh. Kena simpan dalam peti ais, dah tu nak panaskan balik pun leceh juga. Takut pengasuh Luth tak tahu nak urus. Bayak sangat risau aku ni. Betul jadi mak-mak dah aku ni. Macam aku sorang ja ada anak. Maklumlah, nervous walau dah tua tapi anak baru sorang.

Boleh beli tak getah ni? Mahal ke? Kalau pump susu yang brand murah apa ek bagus?

Kuning-kuning tu aku cuba letak gam, tapi tak jadi. Tetap bocor.

Luth pula kalau aku ada kat rumah, memang dia langsung tak nak hisap botol. Nak berkepit ketiak mak ni. Boleh buat muka nak muntah hisap susu botol tu. Padahal, bila aku pergi kerja, dah lapar boleh pula hisap susu botol...susu formula. Tu rasa sayang nak biar susu terus kering. Selagi ada rezeki dia menyusu badan, cuba juga mengepam takat boleh.


20140618

Budak nakal, budak cerdik

Masalah mencari siapa nak menjaga Luth dah selesai. Masa nak buka mulut, ingat sekejap pesan Puan Rai, doa sikit dalam hati.  Alhamdulillah, mudah sangat kesangupan jiran baik hati nak tolong jagakan Luth. Mudahnya dari kepala otak aku fikirkan apa ayat yang nak disusun, punyalah takut nak minta tolong.

Risau tu tetaplah risau, bukan sikit-sikit tapi banyak.

Macam biasa, tiap petang balik kerja aku akan tanya Tok Ma macam mana Luth hari ini? Macam biasa, Tok Ma akan cerita panjang. Luth menangis nak tidur. Luth tak nak hisap susu. Luth nak diulik sampai tidur. Luth tak nak makan. Macam-macam. Risau lagi aku fikir macam mana nak hantar rumah orang ni? Takut menyusahkan orang, tak boleh nak buat apa kerja jaga Luth sorang.

Luth aku ni memang popular. Hampir setaman kenal dengan dia ni. Suka menegur orang  yang lalu lalang, terutama awek secomel dia. Luth dicarta nombor satu. Suaranya paling kuat, menangis setaman boleh dengar. Fikir-fikir, ramai juga suri rumah kat kawasan rumah aku yang boleh tengok-tengokan Luth sambil-sambil tu. Kalau dengar lain macam tangis dia tu, bolehlah intai-intai juga.


Walaupun aku rasa, aku yang paling baik jaga Luth tetapi selalu juga kemalangan. Dalam jagaan aku juga Luth lompat katil, jatuh tertumus dari kerusi dan bemandi gulai asam pedas. Semalam baru mulut dia luka kena bucu kerusi. Berdarah juga sikit, puas aku pujuk nak tengok kat mana luka kemas dia kacip mulut. Lepas puas menangis aku ulik tidur, lena sikit baru dapat tengok. Bibir dia luka sikit, agaknya kena kacip gigi. Nasib baik selera lagi hisap susu.



 

Nakal dia menjadi-jadi, celik mata langsung tak duduk diam. Ke sana ke mari, tambah-tambah sejak dah dapat kaki ni. Sekejap ke dapur, mengemas bawang lada. Siap kemas dapur, singgah ruang tamu, kutip sampah sarap bawah tikar. Puas mengutip sampah, masuk bilik pulak nak panjat katil. Kemas mana yang berkedut, mak tak sempat kemas sebab bangun pagi lewat. Sibuk sungguh kehidupan Luth sekarang ni. Tak apa, sebab aku lagi risau kalau dia tak aktif, tak nakal, sakit ke dia kita tak tahu.  Orang kata budak nakal, budak cerdik. Lagipun, banyak faedahnya bila dapat anak yang aktif ni..salah satunya maknya akan selalu kurus, dan automatik akan cantik..eh tiba-tiba rasa syok sendiri baca komen Puan Hainom semalam-semalam. Kembang setaman hari-hari ..Hik..hik.

Mintaklah semuanya baik-baik.


Aku bukan serah Luth kat orang jaga, aku serah Luth kat Allah jaga. 

20140617

Roti Titab di rumah

Pengaruh facebook lagi. Menunjuk-nunjuk breakfast  macam sedap sangat. Haruslah buat aku terliur juga. Maka sehari sebelum itu aku menyiapkan segala kelengkapan resipi seperti yang dikongsi gambarnya..

Roti bakar yang disapu marjerin, lalu dipecahkan telur separuh masak.  Sikit lagi telur aku nak sepenuh masak. Nasib baik aku ni terror.

Serta dihias dengan kaya ditepi-tepi roti.

Maka aku ambil gambar.



Kemudian google gambar roti titab atau roti kitab. Walah, tak kalah roti titab atau roti kitab  aku.
Kemudian paksa laki aku makan sambil memuji-muji masakan aku. Kira masak jugak ke ni? Ekelah.. nama je gempak, padahal roti bakar letak telur separuh masak letak kaya.


20140616

Siapa boleh di harapkan menjaga anak kesayanganku

Ada beberapa perkara yang buat aku sukar tidur beberapa malam ini...

Tok ma Luth bercadang nak balik kampung puasa ni. Kami laki bini setuju je, mana pilihan terbaik ma kami ikut setuju. Dari awal lagi kami sudah bincang, kami tak nak bebankan ma. Kami ajak ma duduk dengan kami sebab kat kampung pun ma sorang-sorang je. Sakit deman anak-anak jauh. Kami pun risau juga. Bila ma duduk sini, kami pula susahkan ma dengan menjaga anak kami. Terikat tak boleh ke mana-mana menjaga anak kami.

Sedih juga difikirkan macam kami ni mengambil kesampatan atas orang tua. Kami pernah bincang nak hantar Luth, bagi orang jaga tetapi ma sanggup nak jaga. Katanya segan pula, dia duduk dengan kami saja-saja,  selagi sihat, nak jaga Luth.  10 bulan ni ma yang jaga Luth bila kami laki bini keluar bekerja.
Sekarang Luth dah kenal orang, hanya orang-orang yang tertentu je yang dia biasa. 
Sekarang aku rasa pening fikirkan Luth sapa nak jaga? Dia nakal, kuat merajuk, kuat menangis.  Dan kesayanganku manja ni sangat comel, aku risau sangat.  Takut dia tak biasakan diri. Takut penjaganya tidak sabar.

Aku fikir nak bincang dengan jiran yang biasa main-main dengan Luth, kalau-kalau dia sudi jagakan Luth. Sebelum ni, katanya suaminya tidak izinkan untuk menjaga anak orang. Ya Allah, minta dilembutkan hati mereka. Itulah satu-satunya jiran yang aku percaya untuk jagakan Luth.



Aku harap, Tok Ma Luth dapat pulang berehat dikampung halamannya. Pasti dia sangat rindu rumah yang lama ditinggalkan. Doakan semuanya baik-baik. Insyallah.

Makan Strawberry Genting Highland di belakang rumah

Hari itu aku tengok kawan-kawan blog duduk post entry pasal Strawberry kat Genting Highland. Tak habis lagi, tengok rancanga Safiyah pula shooting kat situ. Sungguh aku rasa teruja nak pergi juga. Aku bagi tahu laki aku, aku nak pergi juga. Malam harinya dekat nak tidur, tiba-tiba aku cakap kat laki aku..jomlah pergi Genting Highland makan strawberry. Nantilah kita gi Cameron Highland, lagi best kata laki aku. Alah, macamlah dia tahu mana yang best. Dari bulan madu sampai ke beranak tak pernah sampai pun.

Hari-hari seterusnya aku asyik duk ulang-ulang. Luth tak pernah lagi makan strawberry. Kesian Luth. Sedih gila. Kalau salah sikit, ada yang aku tak puas hati kat laki aku, aku salahkan kempunan nak pergi
Satu malam tu aku terfikir…

Lepas tengok orang lain seronok berjalan-jalan, bercuti-cuti dan bershoping-shoping..rasa teringin sangat nak ikut juga. Rasa down je, biasalah manusia..time gini aku mesti compare dengan orang yang lebih daripada kita. Siap banding-banding dengan kawan-kawan sekolah aku yang selalu update percutian mereka yang gempak. Huk..huk.. Loser gila aku ni. Ikut kepandaian aku masa sekolah dulu, patut aku jadi Super Senior Ir Engineer Nuklear Super Atomic Nagasaki Hiroshima dah loni.

Adakah bini-bini orang lain akan  mengamuk dan mengukit kat laki dia juga macam aku? Aduh..

Genting Highland tu belakang rumah aku je okey. Tak payahlah nak mengamuk sangat nak pergi Genting Highland makan strawberry macam aku.

Tak best pun.hik..hik

Strawberry ada tak ada je.


 Kempunan aku nak memetik buah strawberry.


Nasib baik anak aku dah boleh berjalan sendiri. Sekejap-sekejap je dukung. Kalau tak mahu kurus ni..


Ingat nak masuk dalam ladang nak petik strawberry sendiri, orang kata kalu yang petik segar-segar rasa manis.

Last-last aku beli je yang dah dipetik. Macam besar sikit saiznya.


Untung Luth, buat muka comel dapat sebiji free.


Macam longjong je kepala Luth lepas potong rambut ni..hik..hikk.


Ladang Lavendar ni best sikit.



Mak aku puas duk hidu bau Lavendar ni. Tak bau pun.


 Entah macam mana dibuat wangian Lavendarnya? Tak ada pulak jurucakap nya nak ditanya.


Depan ladangnya, ada jual sikit-sikit barang Lavendar. Aku beli perfume kereta je, buat kenangan kekonon.


Bunga kuning ni, bunga apa ek? Bunga teh ke? 


Kalau bunga teh rugi dia tak jual teh bungakan?  Harus aku beli. Favorite tu.

Cak-cak..


Ada juga bunga dahlia. Eh ye ke? 


Kat tepi-tepi lading tu, ditanam bunga-bunga mawar macam-macam warna. 


Baunya tak kuat macam bunga mawar kampung.


Sebelah ladang ni ada tempat lebah pula. Tapi macam tak siap je. Tak ada apa pun, orang jual madu je. Tak beli pun, mahal sangat.


Lepas tu berhenti café dia jap minum air strawberry sambil hilang penat.


Kemudian sambung jalan sikit lagi.


Beli sayur organic katanya.




Ada juga tempat tanam kulat. Tapi kulat pun tak ada sangat, katanya dah dicabut. Okaloh.


Sekian, sekejap di ladang Genting Highland Strawberry . 


Oh masuk free lagi, agaknya sebab tempat ni tak siap sepenuhnya lagi.

Apalah salah sekali sekala bini teringin nak makan strawberry belakang rumah je pun… Hik..hik..
Luth tak teringin pun nak makan strawberry, orang lain pun sama kecuali aku.. Untung!

20140614

Rumah kampung

Sekali sekala aku rasa nak pindah balik kampung. Aku rasa macam bosannya kerja hari-hari. Itu masa aku belum fikir pasal hutang piutang akulah..


Balik rumah pun rasa sempit je rumah. Rasa sesak je nafas. Tak fikir rumah kat kubur tu.

Ni rumah mak aku kat kampung. Tunggu robohlah, rumah tak ada penghuni sejak mak aku tinggal denagn aku. Oh ada juga seekor burung hantu yang terbang dari bumbung rumah masa kami sampai malam kat kampung malam tu. Tikus dan binatang sewaktunya tak tahulah berapa banyak. Nak sewa pun rasa nak balik kampung lagi. Mana pulak aku nak tinggal kalau balik kampung, rumah dah disewa.


Tangga kat depan pintu tu buat repair elektrik. Masa kami sampai tu, elektrik dah putus. Kabel dia rosak, lama tak gunakan.

Musim buah mangga. Penuh laman rumah dengan mangga gugur.

Ada yang dibalut pakcik aku.

Keliling rumah mak aku ada beberapa pokok buah salak.


Dapat rasa sikit buah salak yang berbuah. Pokok salak ni tak reti berbuah sendiri. Kena tolong kacukan dengan benih bunga jantan baru dia berbuah. Biasa pakcik aku yang tolong kacukan.


Orang hensem, bangun pagi-pagi walau tak cukup tidur penat jalan jauh 10 jam pun maintain je kecomelan.


Tunggu raya panjang umur balik kampung lagi.

Cerita petak bunga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...