Rozel aku tanam tak nampak tanda-tanda nak tumbuh. Daripada pemerhatian aku, ada dua sebab utama yang menjadi penyebab rozel aku tanam tak nak tumbuh.
Pertamanya, musim jerebu. Udara kotor, anak benih aku tak dapat nak bernafas. Sesak nafas, air pun kurang, matahari pula tak dapat beri sinarnya akibat jerebu.
Keduanya, sebab paling utama tanah semaiannya panas sangat. Terlebih tanah bakar. Tak apalah, nanti senang-senang aku tanam lagi sekali. Laki aku kata, jiran kami ada tanam pokok rozel nanti boleh minta benihnya.
Aku teringat kat arwah tok ayah aku.
Zaman kanak-kanak, banyak masa aku habiskan dengan dia. Ma aku berkerja, jadi aku selalu ikut tok ayah. Kami ada tanah kebun kecil dibelakang rumah. Ada pokok durian, rambutan, langsat duku dan macam-macam lagi. Ada juga ditanam sayur untuk makan harian. Tok ayah suka bertani, dia petani tetapi seingat aku masa tuanya cuma bertani untuk makan sendiri sahaja.
Tok ayah sudah tua tetapi dia suka tanam pokok rambutan dan durian. Aku bertanya, sempat ke tok ayah nak merasa rambutan ditanamnya? Kata tok ayah, buah durian kami makan hari ini juga bukan Tok ayah tanam. Tak apa, nanti anak cucu tok dapat merasa.
Bila dia sudah tiada. Kami masih dapat merasa buah rambutan ditanamnya bila sesakali pulang ke kampung. Itupun kalau kena musimnya. Pokok durian dah tak menjadi, mungkin kerana tak ada siapa menjaganya.
Sampai hari ni, tak ada sepokok pun aku tanam buat anak cucu aku.